Sejarah Kedatangan Orang India ke Tanah Melayu atau Malaya Semasa Zaman British

Posted on

india datang sebagai tenaga kerja

Kedatangan orang India secara migrasi beramai-ramai ke Malaya hanya bermula pada pertengahan abad ke 19, disebabkan oleh campur tangan British di India dan juga kejayaan Britain mengukuhkan kuasa mereka di Malaya.

Walaupun orang India sudah datang ke Malaya sebelum itu, mereka hanya datang sebagai duta kepada tamadun-tamadun besar atau kumpulan pedagang yang menjual barangan yang sukar didapati ketika itu.

Berbeza dengan nenek moyang mereka, komuniti India yang hadir ke Malaya adalah disebabkan tawaran untuk bekerja sebagai buruh di kawasan perladangan ataupun mana-mana projek kerajaan ketika itu. Kedatangan mereka ke Malaya juga bukan sesuatu yang berlaku spontan.

Orang Eropah ketika itu menggunakan pengaruh politik mereka membawa pekerja-pekerja ini ke Malaya melalui kendalian ejen dan pencari pekerja yang dilantik di India. Penghijrahan beramai-ramai masyarakat India ke Malaya dipacu oleh sistem kasta yang menekan mereka, penindasan terhadap wanita India dan juga tekanan oleh masyarakat kelas pertengahan dan tinggi, memaksa mereka lari ke Malaya.

Migrasi sistematik

melakukan kerja buruh

Kemasukan pekerja India ke Malaya sebenarnya sudah bermula sejak tahun 1786, dengan pembukaan pejabat koloni British di Pulau Pinang. Jawatan sebagai pembantu rumah dan pekerja ladang menjadi tawaran.

Pada penghujung abad ke 18, dianggarkan beribu-ribu orang India yang digelarkan sebagai ‘kuli’ berada di Pulau Pinang. Angka itu semakin meningkat selepas pembukaan Singapura pada tahun 1819.

Walaupun jumlah pekerja semakin tinggi, bekalan pekerja senantiasa tidak mencukupi – jadi British membuka peluang kepada banduan-banduan dari penjara di India untuk bekerja dalam sektor pengangkutan di Malaya. Bagaimanapun, langkah ini mendapat tentangan orang Britain yang menjadi pegawai di Malaya.

wanita india di malaya

Bagi menyelesaikan masalah penempatan banduan yang telahpun selamat hadir ke Malaya, kerajaan British memindahkan mereka Pulau Andaman pada tahun 1873.

Ini menyebabkan masalah kekurangan jumlah pekerja yang diperlukan kerajaan British kembali timbul, selepas permintaan menjadi tinggi ekoran projek-projek yang diusahakan peladang-peladang dan kerajaan Malaya ketika itu.

Kerajaan British mensasarkan agar Malaya menjadi pusat penanaman utama mereka bagi tujuan eksport pertanian. Rempah mula ditanam pada tahun 1830, tebu pada tahun 1840, kopi pada tahun 1870 dan pokok getah pada tahun 1890. Projek pembinaan jalan raya dan jalan keretapi dimulakan dengan pinjaman daripada kerajaan pusat Britain sebanyak 500 ribu pound.

Bagaimanapun, berikutan teknologi yang ada ketika itu – kebanyakan kerja memerlukan hasil tangan buruh kasar dan jumlah pekerja yang ada sentiasa tidak mencukupi.

Mengapa bukan pekerja Melayu yang bekerja?

masyarakat india

Pada awalnya, British bercadang mahu mengambil pekerja daripada negara-negara Afrika dalam memenuhi keperluan tenaga buruh berkos rendah. Bagaimanapun, ekoran daripada penghapusan dasar perhambaan di Afrika oleh Empayar British sendiri pada tahun 1833, cadangan itu terpaksa dibatalkan.

Pekerja dari Eropah pula memerlukan kos yang tinggi dan agak sukar untuk dipujuk bagi bekerja dalam iklim tropika seperti Malaya. Ini kerana masyarakat Eropah percaya cuaca yang panas dan berbahang seperti di negara kita adalah tempat yang akan menyebabkan kematian mereka atau ‘white man’s grave.’

Cadangan untuk mengambil penduduk asal Malaya iaitu orang Melayu mendapat tentangan masyarakat setempat. Ini kerana masyarakat Melayu ketika itu percaya kehidupan mereka sepatutnya bebas dan tidak dikawal jadual hariannya, berbeza dengan pekerja-pekerja kendalian British. Oleh kerana itu masyarakat Melayu lebih gemar menjadi petani atau nelayan dalam mendapatkan rezeki.

membina jalan keretapi

Selain daripada itu, status sebagai penduduk asal tanah yang dijajah itu juga menyebabkan ramai orang Melayu enggan bekerjasama dengan British, mengelakkan diri mereka daripada terlibat dengan kegiatan ekonomi British. Amat sukar sekali majikan pada ketika itu berjaya menggajikan pekerja Melayu dalam jumlah yang besar melainkan beberapa kelompok yang mahu.

Pekerja bangsa Cina yang sudah ada di Malaya ketika itu pula dipercayai oleh British lebih selesa bekerja di bawah kendalian pimpinan sebangsa mereka sahaja.

Berikutan sebab-sebab ini, pekerja-pekerja berketurunan India dilihat memainkan peranan yang sangat penting pada pemerintahan British dalam membangunkan Malaya ketika itu.

Kasta menghalau kaum India ke Malaya

wanita india menoreh getah

Kumpulan pekerja India yang rata-ratanya datang daripada kawasan selatan India ini, pada pandangan British merupakan kumpulan pekerja yang baik.

Mereka tidak mempunyai cita-cita besar serta mudah untuk diuruskan. Ramai cukup sekadar berpuas hati untuk hidup dengan gaji kecil dan rutin harian menurut jadual yang ditentukan ke atas mereka. Selain itu, orang India yang datang ke Malaya juga berada dalam pemerintahan British di negara asal mereka, jadi sedikit-sebanyak mereka sudah biasa dengan sistem yang digunakan.

Berlaku pengusiran kaum India berkasta rendah daripada kasta Pariah, Pallas, Padhyachi dan Gounda ke kawasan-kawasan setinggan khas di bahagian selatan India, disebabkan oleh beberapa insiden penghinaan yang dilakukan mereka terhadap golongan-golongan Brahmin – kelompok individu yang bertanggungjawab menyebar dan menyimpan ilmu agama Hindu.

datang untuk menotrh getah

Kumpulan kasta Pariah yang merupakan kasta paling rendah dalam sistem sosial masyarakat India ketika itu, membentuk kumpulan pekerja buruh paling besar di wilayah Madras. Daripada kumpulan inilah Britain membawa masuk sebahagian besar pekerja dari India bagi memenuhi permintaan pasaran pekerja tempatan.

Di India, mereka dilayan tak ubah seperti seekor binatang tanpa dipedulikan maruah mereka.

Ini menjadikan individu-individu kasta Pariah seorang yang tekun dalam melakukan pekerjaan serta tidak menolak sebarang arahan – satu ciri yang sangat digemari pihak British. Pendidikan golongan itu juga rendah, membolehkan mereka terus dikemudi untuk bekerja sebagai buruh berbeza dengan masyarakat Cina di Malaya yang mempunyai kemahiran serta lebih pandai berdikari sendiri.

Taktik licik British mengawal sosio masyarakat Malaya ketika itu

kedatangan melalui jalan laut

Selain daripada keperluan memenuhi permintaan pekerja, British juga mempunyai sebab lain kenapa kemasukan pekerja dari India perlu dilakukan.

Berikutan keengganan orang Melayu untuk memberikan bantuan sebagai pekerja dan juga kemajuan orang Cina dalam bidang mereka, British merasakan wujud risiko orang Cina mula memberontak serta bangun menentang mereka.

Bagi menyeimbangkan pengaruh orang Cina yang ketika itu bertumpu di kawasan-kawasan bandar, Frederic Weld, Gabenor kepada negeri-negeri selat merasakan perlunya wujud sebuah lagi masyarakat lain yakni masyarakat India dalam mewujudkan sistem masyarakat yang tidak hanya tertumpu pada masyarakat Cina.

British merasakan bahaya akan melanda sekiranya kaum Cina diberikan kawalan ke atas Tanah Melayu ketika itu, berikutan ketidakstabilan sesama kaum Cina sendiri yang gemar bergaduh sesama mereka.

wanita india mengusahakan tanaman

Kemasukan kaum India ke Malaya juga dilihat dapat membantu memperkukuhkan lagi sistem residen yang mahu diperkenalkan British, yang jelas mahukan sokongan daripada kaum India yang terhutang budi dengan mereka. Ini boleh dijadikan alasan mengapa sistem residen perlu dilaksanakan, berikutan Sultan-Sultan Melayu tidak mempunyai kuasa memerintah kumpulan pendatang ini dan hanya Britain berkuasa ke atas mereka.

Sebagai insentif membawa masuk pekerja India ke Malaya yang ketika itu bersaing kuat dengan Ceylon di Sri Lanka sebagai destinasi pilihan pekerja India Selatan, British menaikkan gaji pekerja-pekerja yang mahu ke Malaya disamping memberikan subsidi kapal untuk perjalanan.

Bagi mempercepatkan lagi kemasukan pekerja India ke Malaya, pada tahun 1900 satu perjanjian di antara badan pemerintah di India dan Malaya membolehkan kesemua sebarang syarat pengambilan pekerja yang ada ditarik balik, memudahkan kemasukan beramai-ramai pekerja dari kawasan India Selatan ke Malaya.

Artikel ini adalah rumusan daripada jurnal¬†‘Indian migration and population change in Malaya’¬†hasil tulisan Kernial Singh Sandhu, yang diterbitkan pada tahun 1958.

Sumber : Iluminasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *