Kisah “Servis Sidek” Yang Luar Biasa Sehinggakan Diharamkan IBF

Posted on

anak anak sidek 54

Mungkin kanak-kanak zaman canggih ketika ini tak mengenali mereka namun bagi yang lahir pada tahun 1990-an dan ke bawah, 5 bersaudara ini pernah menjadi hero ketika sedang membesar.

Kelahiran bintang-bintang muda dalam sukan badminton muda di Malaysia pada akhir tahun 1970-an terdiri daripada anak-anak Datuk Sidek Abdullah Kamar iaitu Misbun, Razif, Jailani, Rahman dan juga Rashid.

Disebabkan menggungguli pelbagai kejohanan di Malaysia, maka mereka dipilih untuk mewakili negara ke kejohanan badminton di peringkat yang lebih tinggi walaupun masih muda.

anak anak sidek bintang badminton malaysia

Sebagai anak sulung, Misbun memenangi gelaran pertamanya di peringkat antarabangsa dalam Kejohanan Terbuka Jerman 1981, diikuti oleh adik-adiknya yang lain.

Bukan kemenangan sahaja yang membuatkan adik-beradik Sidek ini menjadi terkenal di peringkat antarabangsa, malah terdapat satu lagi kriteria yang membolehkan mereka digeruni dalam kalangan pemain-pemain berbisa.

Servis Sidek

misbun sidek kini bertindak sebagai jurulatih

Sememangnya telah terbukti bahawa dari awal lagi Misbun mempunyai akal badminton yang sangat tajam dan ia membuahkan hasil dalam penciptaan satu teknik servis yang sangat unik dan luar biasa, dikenali sebagai “Servis Sidek” atau “S-serve”.

Teknik tersebut tidak pernah digunakan malah tidak pernah terlintas dalam fikiran mana-mana pemain handalan ketika itu.

Sesetengah pengulas juga berpendapat bahawa adik-beradik Sidek memperoleh hasil yang mana tidak pernah berlaku sebelum ini dalam tempoh ini melalui penggunaan Servis Sidek.

Dengan tiba-tiba, dunia badminton seperti dilanda badai.

Pemain-pemain handalan yang menjadi pilihan rebah tertewas kerana servis ini telah membuatkan anak-anak Sidek mendapat mata demi mata dan pihak lawan tidak dapat membalas pukulan.

Malah pemain handalan China dan Indonesia kemudiannya menguasai teknik ini dan ia membuatkan dunia badminton terpisah kepada dua bahagian, iaitu mereka yang tahu akan teknik ini dan satu lagi kumpulan adalah mereka yang tidak.

Bagaimana Servis Sidek dilakukan?

Teknik ini disempurnakan dengan kepala bulu tangkis dipegang menghadap ke atas dan bahagian bulu pula dihalakan ke bawah iaitu ke permukaan gelanggang.

teknik servis sidek yang diharamkan oleh persekutuan badminton antarabangsa

Tangan yang memegang raket badminton harus bersedia dalam kedudukan seperti membuat pukulan kilas (backhand).

Ketika bersedia dalam posisi ini, servis dilakukan secara backhand di mana pukulan dilakukan hanya dengan menolak pergelangan tangan dan bukannya dengan hayunan tangan sepenuhnya.

Bulu tangkis yang dipukul dengan cara begini membuatkannya melayang dalam keadaan berputar-putar ke arah pihak lawan.

Apa yang membuatkan Servis Sidek ini tersangat berbahaya adalah ia sangat mengelirukan di mana pihak lawan terpaksa memberikan perhatian yang sangat tinggi terhadap bulu tangkis untuk memastikan mereka dapat membalas pukulan.

Disebabkan bulu tangkis tersebut berpusing-pusing di udara, pihak lawan terpaksa perlu mengambil masa memastikan bila bulu tangkis tersebut akan menghadap ke arah mereka.

Jika tersalah langkah, pukulan balas yang tidak sempurna oleh pihak lawan akan membahayakan mereka dan lebih buruk, bulu tangkis tersebut boleh tersangkut pada raket pihak lawan.

Disebabkan oleh situasi ini, Servis Sidek telah menerima pelbagai kritikan dan bantahan antarabangsa.

Bantahan dibuat bukanlah disebabkan servis ini memberikan kelebihan kepada adik-beradik Sidek kerana ia juga digunakan oleh ramai pemain-pemain antarabangsa yang lain untuk memanfaatkannya.

Adik-beradik Sidek sendiri pun tidak terlepas dalam menjadi mangsa kepada hasil ciptaan mereka yang berbahaya itu.

Komuniti badminton antarabangsa mula berdebat mengenai servis ini. Denmark dan England mendakwa bahawa servis ini melanggar peraturan dan harus diharamkan.

Pada Mei 1981, dalam mesyuarat pertama Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), Denmark dan England sekali lagi bercadang untuk meminda undang-undang dan mengharamkan servis ini sementara Malaysia dan Indonesia menentang cadangan itu.

razif dan jailani

Ketika itu, pasukan China sudah memahami teknik ini dengan baik dan mendapat keputusan yang baik dalam kejohanan antarabangsa, membuatkan China berada menyokong Malaysia dan Indonesia.

Undian akhir untuk mengharamkan Servis Sidek adalah 51 menyokong dan 35 menentang. Undian tersebut gagal kerana undian tersebut tidak mencapai 2/3 yang diperlukan.

Semasa Terbuka All England di Wembly pada Mac 1982, Malaysia yang diwakili oleh Razif dan Jailani Sidek yang masing-masing berusia 19 dan 18 tahun telah memenangi kejohanan tersebut dalam kategori beregu menggunakan teknik servis ini mengalahkan pasangan dari Scotland.

Kemenangan ini sangat bermakna dan berharga bagi rakyat Malaysia sudah sekian lama tidak dimenangi Malaysia, sejak tahun 1971.

Ia membuatkan para penentang lebih lantang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap Servis Sidek.

Pada 15 Mei 1982, semasa Mesyuarat Agung Tahunan IBF selepas Piala Thomas, sekali lagi perdebatan dilakukan mengenai servis ini. Denmark mendakwa bahawa jika titik sentuh pertama terhadap bulu tangkis adalah bukan di bahagian kepalanya, maka ia menjadi satu kesalahan.

anak anak sidek badminton

Pengerusi IBF juga mengakui bahawa servis ini memberikan penggunanya kelebihan yang besar. IBF dan Persatuan Badminton China mengadakan mesyuarat tergempar untuk menganalisis servis ini dari sudut pandangan teknikal.

Selepas analisis teknikal dan pakar, kesimpulan telah dibuat iaitu Servis Sidek dilakukan dengan melakukan sentuhan pada bahagian bulu dan kepala bulu tangkis secara serentak, sekaligus melanggar undang-undang badminton iaitu pukulan berturut-turut.

Maka, servis ini adalah tidak sah.

Undian terakhir untuk dakwaan Denmark adalah 91 menyokong, 1 melawan, dan 3 berkecuali. IBF memberikan keputusan terakhirnya iaitu mulai 1 Julai 1982, Servis Sidek itu diharamkan dalam semua pertandingan antarabangsa, hingga ke hari ini.

Keputusan ini agak tidak masuk akal kerana cara memukul bulu tangkis tidak sepatutnya dijadikan satu alasan untuk diharamkan kerana ia tidak tertakluk kepada penggunaan oleh pemain tertentu sahaja.

Cuba bayangkan FIFA mengharamkan bola sepak daripada ditendang secara “cucuk” atau “tonjol”, adakah ia relevan? Sudah tentuk tidak.

Walaupun apa pun, perkara ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai pengaruh yang besar dalam arena badminton sehinggakan penciptaan servis unik ini menjadi trademark dan membuatkan kita menjadi juara dunia serta mampu membuatkan pemain peringkat antarabangsa terkulai untuk membalas servis.

Sekadar renungan, jika servis ini tidak diharamkan, adakah kita Malaysia akan terus menjadi kuasa badminton dunia yang tak mampu dikalahkan?

Rujukan:

1. Sport Skeeda

2. Badminton Central

3. Arkib Negara

Sumber : Iluminasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *