8 Mitos Dan Propaganda Pengeluar Produk Untuk Menipu Pengguna Seluruh Dunia

Posted on

Syarikat-syarikat korporat sering menggunakan pengiklanan, strategi pemasaran dan pelbagai jenis kempen untuk menarik minat pengguna agar tertarik dan membeli produk mereka. Kebiasaannya, strategi-strategi ini tidak menimbulkan masalah dan menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan mereka.

Walau bagaimanapun, bagi sesetengah syarikat, mereka sanggup memilih jalan untuk memanipulasi pengguna dengan menyuntik maklumat-maklumat palsu secara halus supaya dapat memenangi persaingan.

Kami kongsikan beberapa strategi pemasaran yang menyebarkan maklumat palsu sehingga ia menjadi begitu popular dan menyebabkan pengguna banyak bergantung kepada kepalsuan itu di seluruh dunia (malah ramai yang masih mempercayainya sehingga ke hari ini):

1. Label “genuine leather”

MITOS: Label “genuine leather” pada barangan kulit digunakan untuk meyakinkan pengguna dengan kualiti dan keaslian produk tersebut.

FAKTA: Istilah tersebut sememangnya bermakna produk kulit itu tulen, namun ia sebenarnya adalah kulit dengan tahap kualiti paling rendah.

Produk kulit kebiasaannya digredkan kepada tiga peringkat: genuine leather, top-grain leather dan full-grain leather.

Produk tali pinggang, kasut dan beg “genuine leather” mudah ditemui di gedung membeli-belah dan pasar raya dan harganya adalah lebih mampu milik. Kulit jenis ini sebenarnya adalah beberapa lapisan kulit berkualiti rendah yang dilekatkan bersama dan diwarnakan supaya kelihatan lebih menarik. Lapisan-lapisan kulit ini adalah sisa lebihan selepas kulit yang berkualiti tinggi dicabut dan dikoyakkan.

Kulit full grain pula merupakan kulit ‘asal’ tanpa bulu yang mempunyai tahap kualiti tertinggi dengan butir serta ira yang menampakkan tekstur kasar dan segala ketidaksempurnaan. Kulit ini sering digunakan untuk produk yang lebih tahan lasak seperti tali pinggang utiliti dan sarung senjata. Walau bagaimanapun, ia masih juga digunakan untuk membuat pelbagai aksesori.

Kulit top grain pula berada di tengah-tengah dari aspek kualiti dan harga. Kulit jenis ini sering digunakan untuk menghasilkan kebanyakan dompet dan beg tangan. Ia terhasil selepas kulit asli full grain dibuang dengan mengempelas dan melicinkan bahagian atas kulit, menambah butiran palsu serta merawat dan mewarnakannya.

Antara gred-gred lain kulit termasuklan kulit campuran (bonded leather), kulit kilat (patent leather) dan kulit diperbetul (corrected leather) yang juga merupakan kulit-kulit berkualiti rendah selepas membuang kulit yang asli.

2. Piramid Makanan

MITOS: Piramid makanan menggambarkan kuantiti sepatutnya kumpulan makanan asas yang perlu dimakan setiap hari untuk mendapatkan diet seimbang.

FAKTA: Ia diubah untuk memberikan kelebihan kepada pengeluar makanan bijirin dan industri makanan.

Piramid makanan pertama diterbitkan di Sweden pada tahun 1974 berikutan harga makanan yang tinggi untuk memberikan rakyat makanan asas yang berkhasiat dan murah di samping makanan sampingan yang melengkapkan keperluan nutrisi harian. Piramid yang sama diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1992 oleh Jabatan Pertanian AS dengan saranan pengambilan karbohidrat antara 50-75% daripada jumlah sukatan hidangan.

Piramid makanan tersebut dikritik hebat kerana menekankan pengambilan karbohidrat yang tinggi dan tidak mengendahkan kepentingan lemak-lemak baik dalam makanan seperti makanan laut, kekacang, minyak zaitun dan buah avokado. Pihak USDA juga didakwa telah mempengaruhi industri makanan dan pertanian, terutama sekali syarikat-syarikat tenusu. Ini disebabkan produk susu kelihatan begitu jelas dalam piramid sehingga ramai percaya bahawa mereka perlu minum lebih banyak susu setiap hari, sedangkan pada masa yang sama ramai juga individu yang tidak toleran terhadap laktosa.

Pada tahun 2005, piramid makanan tersebut telah diubah menjadi MyPyramid yang menyarankan aktiviti fizikal dan mengurangkan pengambilan makanan bijirin kepada 23% sahaja. Pada bulan Jun 2011 pula, panduan nutrisi baru iaitu MyPlate diperkenalkan dan mula diterima ramai sebagai pembaikan sistem nutrisi dengan mencadangkan konsep “suku-suku-separuh” iaitu suku bahagian pinggan mengandungi bijirin, suku bahagian makanan protein dan separuh bahagian pinggan dipenuhi sayuran dan buah-buahan.

3. Air bervitamin

MITOS: Air bervitamin menyihatkan dan memberikan anda lebih banyak nutrisi.

FAKTA: Ia hanyalah air gula berperisa dengan kandungan gula sekitar 33 gram (128 kalori) iaitu bersamaan mana-mana minuman ringan. Cuma ia ditambah dengan kandungan vitamin sintetik.

Dilancarkan pada tahun 2000, Glacéau VitaminWater yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat subsidiari Coca Cola menemui kejayaan selepas berjaya memenuhi ‘ruang’ antara minuman ringan dan air biasa. Menurut Energy Brands, minuman ini disasarkan kepada orang dewasa yang inginkan minuman yang mempunyai kalori lebih rendah daripada soda di samping menghidratkan dan menambah nutrisi kepada si peminum.

Pada tahun 2008, VitaminWater menerima anugerah “Shonky” (shonky bermaksud tidak jujur dan tidak boleh diharap dalam slanga Australia) daripada sebuah organisasi kepenggunaan Australia iaitu Choice. Menurut Choice, walaupun didakwa ‘sihat’, setiap botol minuman itu mengandungi hampir satu pertiga saranan pengambilan gula harian bagi wanita dewasa dan setiap satunya hanya mengandungi kurang daripada 1% jus buah-buahan.

Pada tahun 2011, Badan Kelulusan Pengiklanan United Kingdom telah mengharamkan iklan musim panas VitaminWater yang mendakwa ia sebagai minuman ‘berkhasiat’. Iklan ini dilaporkan sebagai mengelirukan kerana setiap 500ml air tersebut mengandungi 23 gram gula.

4. Rambut bercabang

MITOS: Menggunakan produk khusus seperti syampu dan perapi rambut dengan rawatan untuk rambut bercabang boleh menyelesaikan masalah tersebut.

FAKTA: Setelah bercabang, rambut anda telahpun rosak kekal dan tidak boleh dirawat. Ia hanya boleh dibaiki dengan memotong sedikit bahagian hujung rambut yang bercabang (trimming).

Antara punca utama yang menyebabkan hujung rambut bercabang adalah penggunaan haba ketika menggayakan rambut, terdedah kepada terik matahari, penggunaan terlalu banyak bahan kimia melalui produk rambut ataupun menguraikan rambut berpintal secara kasar. Tekanan-tekanan ini akan merosakkan lapisan luar rambut yang dipanggil kutikel dan menyebabkan bahagian tengahnya terdedah kepada kerosakan lain.

Kerosakan hujung rambut bercabang boleh diatasi dengan penjagaan berkala dan rapi. Namun, walaupun pelbagai produk mendakwa ia mampu membaikpulih rambut rosak ini, ia sememangnya tidak boleh dilakukan.

5. Espresso

MITOS: Secawan espresso mempunyai kandungan kafein lebih tinggi berbanding secawan kopi bersaiz sederhana.

FAKTA: Secawan kecil espresso mengandungi antara 120 hingga 170mg kafein manakala secawan kopi pula mengandungi antara 150 hingga 200mg kafein.

Espresso dibuat pada suhu dan tekanan yang tinggi. Air yang sangat panas dialirkan menggunakan tekanan tinggi melalui biji kopi yang telah dikisar dan proses ini mengambil masa yang singkat berbanding proses membru kopi. Ia juga menghasilkan minuman yang pekat dalam jumlah yang sedikit.

Walaupun espresso mengandungi lebih banyak kafein jika diukur melalui berat dan kuantiti per gram, namun secawan kecil biasa espresso mengandungi kurang kafein berbanding secawan kopi. Malah, secawan kopi Starbucks bersaiz Grande (16 auns) sahaja sudah mempunyai kandungan sebanyak 330mg kafein iaitu dua ke tiga kali ganda daripada secawan ‘shot’ espresso.

6. Makanan dalam tin

MITOS: Anda tidak boleh memakan makanan dalam tin yang telah tamat tempoh.

FAKTA: Makanan dalam tin boleh bertahan berdekad lamanya dan masih selamat dimakan sekiranya tin tidak kembung, kemek atau rosak.

Kami pernah menulis sebuah artikel sebelum ini berkaitan keselamatan makanan dalam tin yang sudah ‘expired’. Secara umumnya, makanan dalam tin selamat dimakan walaupun telah melebihi tarikh luput kerana tin dijadikan kedap udara dan makanan di dalamnya tidak terdedah kepada persekitaran luaran yang boleh menyebabkan ia rosak.

Walau bagaimanapun, keadaan tin perlu diperhatikan terlebih dahulu. Sekiranya tin kembung, berkarat, bocor, kemek teruk atau rosak, elakkan memakan makanan di dalamnya. Tin juga perlu disimpan dalam suhu bilik dan tidak dibekukan serta tidak terdedah kepada cuaca panas.

Selain itu, elakkan juga menggunakan makanan atau susu formula bayi yang telah tamat tempoh untuk mencegah sebarang risiko berbahaya ke atas bayi.

7. Pelekat waranti

MITOS: Anda akan kehilangan waranti jika anda mencabut atau merosakkan pelekat yang tertulis “warranty void if seal is broken.”

FAKTA: Jika anda berada di Amerika Syarikat, Akta Waranti Magnuson-Moss 1975 mengharamkan mana-mana perniagaan meletakkan syarat waranti yang menghalang pengguna daripada membuka atau membaiki peranti mereka.

Akta Persekutuan Amerika Syarikat itu diguna pakai untuk kesemua pengguna produk peranti bernilai lebih 15 dolar. Ia melarang mana-mana syarikat daripada “mengikat” pengguna dengan meletakkan syarat pelekat waranti tersebut seolah-olah “memaksa” pengguna menggunakan perkhidmatan dan alat ganti yang tertentu sahaja. Kaedah “mengikat” ini juga akan membantu pihak pengeluar memonopoli industri pembaikan.

Di Malaysia, sekiranya anda tidak mempunyai kad waranti, anda masih dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang mempunyai jaminan tersirat melalui Bahagian V dan VI (Seksyen 30 hingga 49). Undang-undang Malaysia memberikan jaminan semua produk secara automatik yang dipanggil “implied warranty”. Ini bermakna kesemua produk yang dijual dalam negara perlu mempunyai kualiti berpatutan dan jangka hayat yang munasabah.

Sekiranya pihak penjual atau pengeluar enggan menerima laporan anda untuk membaiki atau menggantikan produk rosak tersebut dengan yang baru, pengguna boleh membuat aduan kepada NCCC dan membawa kes tersebut ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

8. Tilam

MITOS: Tilam perlu diganti baru setiap lapan ke sepuluh tahun.

FAKTA: Dengan penjagaan yang baik, tilam boleh bertahan jauh lebih lama dan boleh digunakan selagi masih selesa.

Antara alasan yang sering digunakan untuk menukar tilam baru selepas beberapa tahun adalah kerana ia telah menjadi tapak pengumpulan habuk, peluh dan hama yang adakalanya menyebabkan alahan. Malah, menurut salah satu mitos, berat tilam akan berganda selepas lapan tahun disebabkan hal ini.

Dengan menggunakan lapik tilam, mencuci sarung cadar dan bantal dengan kerap serta memusingkan tilam untuk memastikan penggunaan sama rata di kedua-dua belah, jangka hayat tilam mampu bertahan lebih lama. Melabur sedikit wang untuk mendapatkan tilam yang berkualiti tinggi juga mungkin boleh membantu memanjangkan hayat tilam, walau bagaimanapun tidak perlulah membazir sehingga membeli tilam eksklusif yang terlampau mahal harganya.

Sumber : Iluminasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *